KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan Jumaat ini bagi keputusan dua permohonan baharu yang dikemukakan pihak pembelaan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali.
Dua permohonan itu ialah mendapatkan rakaman percakapan 15 saksi pembelaan yang ditawarkan pendakwaan dan memanggil semula tiga saksi pendakwaan yang sebelum ini memberi keterangan.
Semasa prosiding Hakim Izralizam Sanusi memutuskan Jumaat ini bagi keputusan dua permohonan tersebut kerana mahkamah perlu meneliti kedua-dua permohonan yang dikemukakan pihak termasuk hujahan balasan daripada pihak pendakwaan.
“Berdasarkan fakta, terdapat dua permohonan (pihak pembelaan) yang saya kira mahkamah perlu peluang memberi peluang kepada pihak pembelaan dan juga pihak pendakwaan dalam membuat persediaan bicara pembelaan.
“Ia kerana keputusan bagi kedua-dua permohonan tersebut akan memberikan kesan pada pembelaan tertuduh,” kata hakim itu.
Menurut hakim Izralizam lagi, pada hari yang sama tarikh baharu perbicaraan bela diri Siti Bainun atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down Bella, turut akan ditetapkan mahkamah.
Terdahulu hakim Izralizam telah melapangkan tarikh-tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini selepas mempertimbangkan tertuduh perlu menjalani rawatan kesihatan seperti yang dikemukakan pihak pembelaannya sebelum ini. – KOSMO! ONLINE