fbpx

Mahkamah: Lelaki dijel tiga tahun, mengaku belasah anak, isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rony Abraham dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah memukul dan mencederakan isteri serta dua anaknya, Oktober lalu.

MELAKA – Tindakan seorang penganggur sanggup mencucuh rokok pada isteri dan mencederakan dua anaknya kerana tidak dibelikan rokok membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dalam prosiding mahkamah di sini, hari ini.

Tertuduh Rony Abraham, 37, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah atas empat pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Melaka.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail, tertuduh didapati telah menyebabkan kecederaan kepada isterinya, Nazifah Mohd Salleh, 38 tahun dengan cara mencucuh puntung rokok di lengan tangan kanan dan bahagian mata sebelah kiri mangsa.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman, tertuduh didapati bersalah atas tiga pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isteri dan dua anaknya berusia 12 dan 13 tahun.

Mengikut kesemua pertuduhan itu, tertuduh dengan sengaja telah memukul pipi kiri dan seluruh badan isterinya menggunakan tangan juga menendang belakang badan anak lelakinya berusia 12 tahun serta menumbuk mulut anak perempuannya yang berusia 13 tahun sehingga cedera.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM 2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Bukit Tempayan, Tanjung Kling di dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 7 pagi hingga 11 pagi, pada 17 Oktober 2022 lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh bertindak memukul isterinya selepas berang wanita itu tidak membelikan rokok untuknya.

Mangsa kemudian telah keluar membeli rokok tersebut, namun tertuduh masih tidak berpuas hati dan mengarahkan isterinya duduk di atas katil sebelum mencucuh puntung rokok ke bahagian badan mangsa.

Tertuduh turut memukul dua lagi anaknya sebelum secara tiba-tiba bertindak naik ke atas bumbung rumah dah meminta tolong.

Mohd. Sabri kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun bermula dari tarikh tertuduh di tangkap iaitu pada 23 Oktober lalu, manakala Sharda menetapkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap tiga pertuduhan yang didakwa di hadapannya.

Kesemua hukuman itu bagaimanapun diperintahkan untuk berjalan serentak.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Fiqri Hakim Zamri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI