Lampu signal atau isyarat membelok adalah salah satu komponen penting dalam sistem elektrikal dan pencahayaan sesebuah kenderaan.
Ia sememangnya amat penting kerana memberitahu pemandu lain niat untuk menukar lorong, memotong, keluar masuk simpang mahupun untuk memparkir kenderaan.
Namun, masih ramai pemandu di negara ini yang ‘malas’ untuk menggunakan lampu signal terutamanya untuk bertukar lorong atau membelok ketika berada di simpang dan menganggapnya tidak perlu seolah-olah ia adalah barangan hiasan semata-mata.
Natijahnya, situasi sebegini boleh mendatangkan kemalangan jalan raya disebabkan orang dari belakang, hadapan mahupun dari simpang tidak mengetahui niat sebenar seseorang pemandu sama ada mahu ke kiri atau kanan.
Apa sebenarnya yang menyebabkan pemandu di negara ini tidak berapa suka menggunakan lampu signal hingga menyusahkan pengguna jalan raya yang lain hingga ada yang menggelarkan golongan ini sebagai ‘pemandu bebal’.
Kebanyakan alasan atau jawapan klise yang dimaklumkan adalah tiada masa, malas, terlupa, tidak peduli kerana kerap menukar laluan dan lampu signal bukannya penting, selain beranggapan pemandu lain juga tidak menyalakannya.
Keadaan ini seolah-olah sudah menjadi satu budaya dalam kalangan sebahagian besar pemandu di Malaysia dan jika tidak ada kesedaran dalam diri masing-masing, ia agak membimbangkan akan berlaku lebih banyak kemalangan pada masa depan.
Justeru, pihak berwajib juga perlu melakukan sesuatu agar permasalahan yang tidak dianggap penting bagi sesetengah orang itu dapat diatasi bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
Ini penting kerana penggunaan lampu signal membelok semasa keluar masuk simpang, memotong, menukar lorong mahupun memparkir kenderaan sebenarnya dapat mengelak kemalangan.
Kes kemalangan jalan raya di Malaysia sudah terlalu banyak, jadi tak usahlah menjadi penyumbang kepada statistik berkenaan.
Ada juga pengguna jalan raya yang agak nakal menyarankan agar lampu-lampu isyarat membelok itu lebih baik dicabut dan dijual di kedai potong.
Apa yang susah sangat mahu petik suis lampu signal, cuma guna sebatang jari, tak sampai tiga saat pun. Itupun masih ramai yang berat untuk berbuat demikian.
Percayalah, lampu-lampu tersebut dibuat bukan untuk hiasan semata-mata, sebaliknya ada kegunaannya tersendiri.
Apa yang paling penting dalam hal ini, kesedaran dalam setiap individu perlu timbul dengan sendiri tanpa paksaan kerana kerana setiap petikan suis isyarat membelok sebenarnya mampu menyelamatkan nyawa anda serta pengguna jalan raya lain.
Sekurang-kurangnya, fikirkanlah tentang ahli keluarga sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.