PETALING JAYA – Kegembiraan bertukar menjadi situasi cemas, apabila seorang lelaki warga Vietnam ditinggalkan ‘banana boat’ dinaikinya, setelah jatuh ke dalam laut di Teluk Kemang, Port Dickson.
Video yang dimuat naik oleh @akim14777 di TikTok, menunjukkan mangsa terkapai-kapai keseorangan di laut, sambil melambai meminta dirinya diselamatkan.
“Sampai dah lemas dia.. nasib baik bot kami ada berdekatan, yang bawa ‘banana boat’ dan kawan-kawan dia yang lain takkan tidak perasan kawan dia jatuh.
“Ingat pemilik ‘banana boat’ patah balik ambil dia, tetapi rupanya dah sampai pantai dah pun, tinggal dia keseorangan di laut,” tulis @akim14777 di kapsyennya.
Walau bagaimanapun, tiada kecederaan serius di alami lelaki terbabit dan dia bernasib naik kerana diselamatkan oleh bot berhampiran.
Di ruangan komen, rata-rata orang ramai kelihatan risau dan takut untuk menaiki ‘banana boat’ selain menyelar tindakan pengusaha servis itu yang dikatakan mengambil mudah tentang keselamatan penumpang.
“Sejak kebelakangan ini banyak kes haiwan buas seperti buaya tiba-tiba muncul. Nasib baik, tidak ada apa-apa berlaku,” komen seorang netizen.
“Buah hal lah mereka ini, ambil mudah sangat. Lain kali, kena kira berapa ramai naik banana bot, dan bila dah sampai pantai kira lagi sekali cukup atau tidak orang,” komen netizen yang lain pula.
Sehingga kini video tersebut telah meraih 1.4 juta tontonan, 96,400 tanda suka dan 1,066 perkongsian. – KOSMO! ONLINE