fbpx

KKP Indonesia tegaskan Kepulauan Widi tidak boleh dijual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kepulauan Widi terletak di Halmahera Selatan dalam wilayah Maluku Utara. - Lelong Concierge Sotheby’s

JAKARTA – Kementerian Laut dan Perikanan (KKP) Indonesia mengingatkan pengendali Kepulauan Widi di Halmahera Selatan dalam wilayah Maluku Utara bahawa pulau-pulau di rantau itu tidak boleh dijual beli terutamanya kepada pelabur asing, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia semalam.

Staf Khas Komunikasi Awam KKP, Wahyu Muryadi menegaskan bahawa kepulauan tersebut adalah milik pemerintah Indonesia dan dilindungi oleh undang-undang.

Ini bermaksud sebarang aktiviti jual beli pulau-pulau di situ adalah dilarang kerana ia merupakan hak rakyat dan aset negara.

“Kepulauan Widi tidak boleh dimiliki oleh orang asing dan tidak boleh dijual beli.

“Apatah lagi 83 pulau kecil di rantau tersebut, di mana hampir keseluruhannya merupakan kawasan hutan rizab selain perairannya turut memasuki kawasan konservasi,” kata Wahyu dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Tambah Wahyu, sikap tegas KKP dalam mengendalikan isu lelongan Kepulauan Widi menunjukkan komitmen Menteri Laut dan Perikanan, Sakti Wahyu Trenggono untuk melindungi wilayah pesisir dan pulau-pulau kecil di Indonesia.

“Ini sekali gus menjawab laporan media yang menyebut bahawa pulau-pulau di Kepulauan Widi akan dilelong sebagaimana tertulis pada laman web firma lelongan, Lelong Concierge Sotheby’s yang berpangkalan di New York,” ujar Wahyu.

Baru-baru ini terdapat laporan media asing bahawa pulau-pulau kecil di Kepulauan Widi akan dilelong dalam acara lelongan yang dianjurkan Sotheby’s pada 8 hingga 14 Disember ini.

Naib Presiden Eksekutif untuk Eropah, Asia Barat dan Afrika (EMEA), dalam Lelongan Concierge oleh firma Sotheby’s menjangkakan bidaan untuk kepulauan itu adalah jelas.

“Semua bilionair boleh memiliki pulau persendirian tetapi hanya seorang sahaja yang boleh merebut peluang eksklusif ini untuk pemilikan lebih 100 pulau,” katanya dalam satu kenyataan akhbar seperti dilaporkan laman berita Wion News baru-baru ini. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI