fbpx

Jiwa & Lagu Ezad Lazim sarat nostalgia, emosi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jiwa & Lagu Ezad Lazim adalah lambang apresiasi untuk keluarga dan peminat setia.

MALAM minggu lalu Hotel Aseana Resort & Spa Langkawi menjadi gelanggang terindah perhimpunan peminat tegar Ezad Lazim dari seluruh pelosok negara yang teruja menjadi sebahagian daripada sejarah penganjuran persembahan Lagu & Jiwa Ezad Lazim.

Buat julung kali vokalis kumpulan Exists itu tampil menghiburkan penonton di pulau legenda dalam persembahan solo dua malam berturut-turut yang boleh diibaratkan sebagai sebuah konsert mini.

Bukan hanya peminat dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Johor mahu pun peminat setempat, dewan yang boleh memuatkan sekitar 150 pada satu masa itu turut menyaksikan kehadiran penonton Sabah, Sarawak serta Singapura.

Malah peluang mengikuti momen bersejarah yang turut disertai pe­nyanyi dan komposer berpengalaman, Adzrin Adzhar selaku pengarah muzik membuktikan kemampuan Ezad memukau khalayak.

Pemilihan lagu, penampilan di pentas serta celoteh ringkas, semuanya seakan-akan membawa peminat menelusuri terowong masa sehingga ada yang tidak teragak-agak menjadi penonto setia Ezad untuk dua malam bertutut-turut.

Tolak tepi vokal si pemilik nama penuh Mohd Rohaizad Mohd Lazim, yang sememangnya seperti ‘telan kaset’, dari segi repertoire serta pesona, nyata dia punya daya tarikan yang membuatkan penonton melekat di kerusi sepanjang dua jam beraksi.

Malah mantan Menteri Kebudayaan Kesenian & Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang hadir memberikan sokongan juga menzahirkan rasa puas hati dengan persembahan tersebut.

ADA penonton
sanggup terbang dari jauh, termasuk Singapura untuk menonton Jiwa & Lagu Ezad Lazim
di Langkawi
baru-baru ini.

Mendendangkan seleksi lebih 20 hit termasuk daripada album Exists serta buah tangan solo, Ezad menyelitkan segmen nostalgia apabila memilih medley lagu ‘evergreen’ dendangan asal pe­nyanyi yang memberi pe­ngaruh terhadap seninya.

Lagu-lagu seperti Ku Pendam Sebuah Duka (Khadijah Ibrahim), Seribu Bintang (Alleycats) dan Setelah Aku Kau Miliki (Shima) yang dipersembahkan sebenarnya pernah membawa tuah setiap kali menyertai pertandingan nyanyian sejak remaja.

Terdahulu, pentas Jiwa & Lagu Ezad dipanaskan seleksi wajib, Jesnita, Percayakan Siti dan Seperti Dulu, sebelum meneruskan momentum dengan lagu yang dihasilkan pada tahun 1998, Dirantai Digelangi Rindu.

Memanfaatkan ruang dengan celoteh lucu namun ‘berisi’, penyanyi berusia 42 tahun itu turut mendedikasikan sebuah lagu nukilan Allahyarham Rudy Imran, Demi Cinta untuk isteri yang berada di sisi ketika dirinya berada pada titik terendah.

Seleksi lain yang menghangatkan nuansa termasuk Buih Jadi Permai­dani, Mencari Alasan, Seperti Dulu, Mama Tolonglah Percaya serta segmen khas buat wanita menerusi lagu Kamelia dan Rozana.

Dalam keterujaan, Ezad sempat menyelitkan beberapa peristiwa pahit manis sepanjang tempoh bertapak di arena seni yang signifikan terhadap dirinya sekarang.

Persembahan solo dua malam Jiwa & Lagu Ezad Lazim turut disertai penyanyi dan komposer Adzrin Azhar sebagai pengarah muzik

Anak jati Johor itu turut mendedikasi persembahan selama lebih dua jam tersebut buat bapanya, selaku insan pertama yang menyuntik cinta terhadap muzik sejak kecil.

Seperti diluahkan, impian sebenar Ezad adalah tampil solo dalam sebuah persembahan besar dengan diiringi band secara langsung. Buat masa ini, New Dimension SVC Sdn. Bhd selaku penganjur persembahan Ezad juga merancang membawa ‘showcase’ sama ke skala lain.

Ketua Pegawai Eksekutif New Dimension SVC, Ros Sazilla Rashid berkata, sudah ada pihak yang
‘me­risik’ dan berminat berkolaborasi membawa Jiwa & Lagu Ezad Lazim ke negeri lain.

“Memang kami sudah punya pe­rancangan meneruskan persembahan ini menjadi projek jelajah mega tahun depan, sekali gus mengalu-alukan rakan strategik serta penaja lain.

“Kejayaan konsert mini ini dibuktikan dengan sambutan luar biasa peminat setia Ezad. Semua ini menyemarakkan semangat kami merealisasikannya dalam skala mega,” kata­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI