PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan hujan lebat beserta ribut petir sedang melanda ketika ini di tujuh buah negeri.
MetMalaysia menerusi kenyataannya di Facebook berkata, pada ketika ini hujan lebat beserta ribut petir sedang melanda di beberapa kawasan yang tertumpu pada bahagian pantai timur.
“Ia melibatkan bahagian persisiran pantai negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka dan negeri Selangor serta kawasan pedalaman Sarawak. Namun, cuaca ini dijangka beransur reda sekitar lewat pagi nanti,” katanya hari ini.
Terdahulu, Met Malaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan tahap Waspada yang kini berkuatkuasa sehingga 9 Disember nanti melibatkan kawasan negeri Kelantan (kecuali Gua Musang) dan Terengganu
Selain itu, Met Malaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama yang mulai berkuatkuasa hari ini sehingga isnin depan yang melibatkan kawasan Condore, Reef North dan Layang-layang.
Susulan itu, warga tempatan adalah disarankan untuk sentiasa berhati-hati dan cakna dengan segala amaran yang bakal dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan terutamanya bagi mereka yang menetap di kawasan rendah. – KOSMO! ONLINE