PETALING JAYA – Tidak ada masalah untuk bergambar atau merakam video di hadapan Batu Cave.
Itu pendapat seorang pengguna TikTok @im_thevand_jr110 berhubung sebuah video tular memaparkan seorang wanita Islam menggayakan pakaian muslimah di hadapan Batu Caves baru-baru ini.
Video berkenaan mendapat pelbagai reaksi negatif apabila ada yang mendakwa perbuatan individu itu tidak menghormati Batu Caves yang turut menjadi tempat sembahyang pengganut Hindu.
“Batu Caves ini bukan sahaja tempat sembahyang, tetapi merupakan tempat pelancongan juga.
“Boleh ramai-ramai datang sini ambil gambar serta video, malah boleh buat pengggambaran filem di sini tetapi perlu membuat permohonan terlebih dahulu,” katanya.
Jelasnya, pada tahun 2007 sebuah filem Tamil bertajuk Billa pernah merakam video muzik di hadapan Batu Caves.
“Ketika itu tidak timbul isu seperti ini. Tiba-tiba kali ini jadi isu begini. Jadi saya mahu minta maaf pada kawan-kawan Melayu saya.
“Sebenarnya perkara ini tidak salah, bagaimanapun memang ada peraturan perlu dipatuhi seperti perlu berpakaian sopan, tidak boleh buang sampah merata-rata serta ada kawasan yang dilarang untuk memakai selipar,” katanya.
Difahamkan wanita di dalam video tular itu menggayakan pakaian dari satu jenama fesyen dari Indonesia.
Sementara itu, pemilik jenama tersebut turut tampil memohon maaf sekiranya video tersebut menyinggung perasaan mana-mana pihak.
“Kami memohon maaf dan tidak ada niat sekalipun untuk menyinggung perasaan sesiapa. Tujuan kami datang ke Malaysia sebagai pelancong untuk menikmati keindahan di Malaysia.
“Kami berusaha menjaga tingkah laku semasa berada di Batu Caves malah sewaktu video itu diambil kami pastikan tidak mengganggu sesiapa. Malah kehadiran kami ketika itu juga disambut baik oleh pengunjung lain apabila ada yang membantu serta memuji pakaian dikenakan model berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE