PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan masih dalam proses penelitian senarai calon timbalan menteri yang bakal mengisi pelbagai portfolio dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, Anwar sudah meminta kesemua parti dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan agar menyenaraikan nama calon yang layak bagi dipertimbangkan.
“Saya difahamkan bahawa semalam memang telah ada perbincangan berhubung perkara ini dan proses penelitian senarai nama masih berjalan sepanjang minggu ini.
“Insya-Allah, saya menjangkakan proses semakan latar belakang calon dan portfolio yang bakal diletakkan kekal mungkin ada sedikit masa antara satu atau dua minggu,” katanya selepas merasmikan Persidangan ‘Kick-Off’ Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 anjuran Unit Perancang Ekonomi tadi.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, bilangan mereka yang layak disenaraikan bergantung kepada nilai faktor ‘sumbangan’ daripada parti tersebut kepada pembentukan kerajaan sedia ada.
Pun begitu, beliau, enggan mendedahkan sebarang butiran terperinci kerana tiada apa-apa maklumat lengkap termasuk kemungkinan ada lagi pelantikan senator yang baharu.
“Senarai calon yang dicadangkan kepimpinan parti tersebut jika dimuktamadkan akan dipersembahkan untuk diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE