PETALING JAYA – Senai Airport City Sdn. Bhd., anak syarikat MMC Corporation Berhad dan Fiffy Sdn. Bhd. telah menyempurnakan perjanjian jual beli untuk melupuskan sebidang tanah perindustrian di Senai Airport City (SAC) berkeluasan kira-kira 3.9 hektar bernilai RM23.3 juta.
Fiffy, salah satu jenama isi rumah terkemuka untuk produk bayi di pasaran Malaysia memilih SAC sebagai tapak untuk ibu pejabat baharunya dan kemudahan pembuatan serta gudang di Johor.
Ketua Pegawai Eksekutif Fiffy, Lee Siew Mui berkata, pihaknya kini mempunyai tiga pusat pengedaran yang mengagihkan barangan kepada lebih 700 cawangan serta 17 butik di seluruh negara.
Menurut beliau, fasa pasca-pandemik juga telah memperhebatkan pasaran pengguna e-dagang dalam negara dan serantau.
“Kami melihat keperluan lokasi yang strategik untuk rangkaian pengedaran gudang Fiffy sebagai strategi perniagaan jangka panjang dan kami yakin SAC adalah pilihan tepat.
“SAC adalah pembangunan perindustrian bersepadu terancang dengan sambungan logistik ke tiga persimpangan utama Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Senai-Desaru dan Lebuhraya Link Kedua, selain dua pelabuhan di Johor dan tiga lapangan terbang antarabangsa yang pastinya akan meningkatkan fleksibiliti operasi Fiffy dalam capaian pasaran antarabangsa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Ketua Jualan dan Pemasaran Senai Airport City Sdn. Bhd., Claudia Wong berkata, pihaknya optimis terhadap jualan tahun 2023 memandangkan syarikat kini dalam rundingan peringkat akhir untuk tanah berkeluasan 60 hektar dengan beberapa syarikat multi nasional di SAC.
“Proposisi nilai model pembangunan Plug-and-Play di SAC dengan plot industri lengkap, infrastruktur dan utiliti memberi jaminan kepada pelabur serta mempercepatkan garis masa pembangunan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE