KUALA LUMPUR – Sebanyak 39 premis pelacuran dan perjudian telah ‘digempur’ oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, sekitar kawasan ini sepanjang tahun.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah mengadakan operasi pemotongan bekalan elektrik ke atas premis-premis tersebut.
“Ia merupakan hasil kerjasama IPD Sentul bersama-sama Tenaga Nasional Berhad cawangan Kepong dalam menjayakan operasi tersebut.
“Kebanyakan premis yang diserbu adalah rumah kedai yang disewa oleh sindiket pelacuran dan perjudian bagi menjalankan aktiviti tersebut.
“Hasil daripada serbuan yang telah dilakukan, sebanyak tujuh buah premis telah dipotong bekalan elektrik pada 2 Mac lalu dan dua buah premis lagi turut dipotong bekalan elektik hari ini,” katanya.
Tambahnya lagi, operasi pemotongan bekalan eletrik akan diteruskan dari masa ke masa sebagai langkah untuk mengurangkan kegiatan pelacuran dan perjudian di daerah ini.
Ujarnya, tindakan pemotongan bekalan elektrik di premis ini dibuat selaras mengikut Peruntukan Eletricity Supply Act 1990.
“Polis Kuala Lumpur mengambil berat terhadap permasalahan ini dan akan terus melakukan pemantauan dalam usaha mengekang kegiatan pelacuran dan perjudian.
“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang yang sedia ada akan diambil terhadap individu yang didapati melanggar undang-undang,” katanya. – KOSMO! ONLINE