RABAT, Maghribi – Penunjuk perasaan membanjiri ibu kota Maghribi, Rabat kelmarin untuk membantah ‘kos sara hidup tinggi dan penindasan’ ketika inflasi melambung tinggi dan rakyat semakin tidak berpuas hati.
“Rakyat mahu harga barang turun. Orang ramai juga mahu rasuah dan penindasan dihapuskan,” kata penunjuk perasaan. Beberapa wartawan menganggarkan jumlah mereka mencecah 3,000 orang sekali gus protes terbesar seumpamanya sejak beberapa bulan lalu.
Polis bagaimanapun menganggarkan bilangan penunjuk perasaan adalah antara 1,200 hingga 1,500 orang.
“Kami hadir untuk membantah kerajaan yang menyalahgunakan wang serta kuasa,” kata Younes Ferachine selaku koordinator Barisan Masyarakat Maghribi (FSM). FSM terdiri daripada kumpulan parti politik dan kesatuan sekerja yang menganjurkan demonstrasi itu.
Protes itu juga diadakan untuk membantah kes sebilangan wartawan dan penulis blog yang dikenakan hukuman penjara.
Kadar kemiskinan di Maghribi kembali buruk seperti tahun 2014 akibat impak pandemik Covid-19 dan inflasi, demikian menurut Suruhanjaya Tinggi Perancangan dalam laporannya baru-baru ini.
Inflasi pengguna meningkat 7.1 peratus tahun ke tahun pada Oktober lalu. Kenaikan itu sebahagian besarnya disebabkan lonjakan harga makanan akibat kemarau teruk yang menjejaskan para petani.
Berdepan tunjuk perasaan, Perdana Menteri, Aziz Akhannouch bertindak mempromosi liputan perubatan lebih meluas dengan lebih 10 juta rakyat Maghribi berpendapatan rendah menyertainya sejak beberapa minggu lalu. – AFP