fbpx

Hadiah perkahwinan Permaisuri Agong dipamer di Muzium Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Raja Permaisuri Agong diiringi tetamu kehormat melihat pameran dan demonstrasi tekstil Sarawak sempena majlis pelancaran Lembaran Emas Siri 2: Simposium Tekstil Borneo 2022, hari ini.

KUCHING – Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menghadiahkan salah satu hadiah perkahwinannya kepada Kerajaan Sarawak untuk dipamerkan di Muzium Sarawak.

Baginda bertitah, ia adalah Keringkam Sarawak yang dihadiahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Hari ini, saya mahu menyerahkan hadiah kepada Kerajaan Sarawak untuk muzium dan ia adalah salah satu daripada 16 dulang hadiah perkahwinan saya.

“Ia adalah Keringkam Sarawak, jadi saya mahu mengembalikan semula kepada Sarawak kerana ia diperbuat di Sarawak.

“Saya mahu kembalikan kepada Kerajaan Sarawak agar dapat dipamerkan di muzium dan saya mahu ia diletakkan dalam muzium sebagai hadiah daripada saya,” katanya pada majlis pelancaran Lembaran Emas Siri 2: Simposium Tekstil Borneo 2022 di sini, hari ini.

Baginda menyifatkan wilayah di Kepulauan Borneo iaitu Sarawak, Sabah dan Brunei mempunyai kekayaan warisan tekstil yang masih belum diterokai.

Justeru, Raja Permaisuri Agong berkenan membawa hasil seni atau kraftangan asli Sarawak ke London sempena Minggu Kraf London pada tahun depan.

Menurut baginda, ia selaras dengan temanya iaitu etnik asli, seni corak dan kraf, dengan Sarawak begitu kaya dengan produk kesenian aslinya yang tersendiri.

“Saya harap seluruh dunia akan dapat melihat kekayaan yang kita ada, seperti songket keringkam daripada Melayu Sarawak, Pua Kumbu daripada kaum Iban, songket Rajang Melanau yang terkenal dengan teknik bunga tersembunyi dan banyak lagi.

“Jadi saya harap Sarawak akan membantu saya di sini kerana orang barat sangat suka dengan seni corak,” katanya.

Dalam pada itu, baginda turut meminta enam penjara di Sarawak menghasilkan produk kraf yang berbeza, dengan mencabar Penjara Puncak Borneo untuk menghasilkan Pua Kumbu pada samping.

“Saya telah meminta setiap daripada penjara mesti membuat seni kraf yang berbeza, misalnya membuat anyaman manik, bakul, menjahit, keringkam dan sebagainya.

“Jadi, saya mahu setiap enam penjara di Sarawak untuk tampil dengan hasil kerja yang cantik kerana saya tahu Kerajaan Sarawak akan sentiasa menyokong apa sahaja yang anda lakukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI