fbpx

K2

PLUS anjur latihan menyelamat bagi hadapi musim banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SERAMAI 22 kakitangan PLUS menyertai program PLUS Flood Preparedness yang diadakan di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

PERALIHAN monsun terutama selepas berakhirnya Monsun Barat Daya yang biasanya berlaku pada Oktober hingga Disember setiap tahun boleh mengakibatkan kejadian ribut petir dan hujan lebat di sebahagian besar kawasan di negara ini.

Ekoran itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) kerap mengeluarkan amaran kejadian banjir di beberapa kawasan ekoran hujan lebat yang mungkin melanda di sesetengah tempat.

Malah, ramalan hujan oleh MetMalaysia, sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kerap menjadi panduan kepada pelbagai pihak sebagai persediaan menghadapi kemungkinan risiko banjir kilat.

Melihat kepada trend kejadian banjir yang kerap berlaku di pelbagai lokasi, pengendali Lebuh Raya Utara-Selatan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan program PLUS Flood Preparedness.

Langkah tersebut sebagai persediaan menghadapi banjir terutamanya ketika musim tengkujuh.

Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, antara persediaan yang dilakukan oleh syarikat itu adalah mengadakan sesi latihan pengendalian bot dan keselamatan terhadap kakitangannya dalam satu program yang diadakan baru-baru ini.

Katanya, sesi latihan itu bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya di bawah kendalian PLUS sentiasa terjamin.

Ulasnya lagi, ia juga sebagai langkah siap siaga kakitangan syarikat berkenaan dengan pengetahuan dan kemahiran mengendali bot ketika banjir melanda.

Jelasnya, seramai 22 kakitangan PLUS telah menyertai sesi latihan tersebut yang diadakan di Subang Jaya, Selangor itu.

“Kami mendapat kerjasama daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya bagi memberikan latihan asas terutama mengenai teknik mengendalikan bot keselamatan.

“Kami juga ingin memastikan kakitangan PLUS mempunyai kemahiran ketika operasi menyelamat di dalam air terutama sewaktu berhadapan musim banjir serta kemungkinan-kemungkinan lain yang boleh berlaku,” katanya.

Menurut Zakaria lagi, sebanyak empat buah bot milik PLUS telah digunakan dalam latihan selama sehari itu.

ZAKARIA (dua dari kiri) memberi taklimat ringkas kepada peserta serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang terlibat pada program persediaan musim banjir itu.

Untuk makluman, kesemua aset tersebut akan ditempatkan di lokasi yang telah dikenal pasti sebagai persediaan menghadapi musim banjir.

Tambahnya, ia merupakan inisiatif tambahan yang dilaksanakan oleh syarikat itu dalam menghadapi kemungkinan banjir ketika musim tengkujuh.

Dia memaklumkan, kemahiran itu juga boleh dimanfaatkan sebagai satu bentuk bantuan kepada pihak lain yang berhadapan dengan risiko banjir.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, sebagai persediaan tambahan, pihaknya melakukan pemantauan dengan mengenal pasti lokasi berisiko berlakunya banjir berdasarkan kajian terhadap kejadian yang pernah berlaku di semua lebuh raya kendalian PLUS sebelum ini.

“PLUS juga telah menyediakan peta laluan alternatif kepada pengguna lebuh raya yang terjejas akibat kejadian banjir di kawasan lebuh raya bagi melancarkan perjalanan mereka.

“Selain itu, kami melakukan pemantauan paras air sungai di lokasi-lokasi tertentu sebagai tindakan proaktif selepas mendapat amaran banjir bagi meminimumkan impak ke atas aset lebuh raya PLUS,” katanya.

“PLUS juga akan mengaktifkan pelan komunikasi untuk melakukan sebaran maklumat melalui Pusat Pemantauan Trafik PLUS sama ada melalui talian PLUSLine (1800-88-0000), paparan mesej elektronik di lebuh raya, PUTRI Chatbot atau Twitter@PLUStrafik,” katanya.

Ujarnya lagi, PLUS juga akan mengadakan pemeriksaan, pemantauan dan penyelenggaran secara berkala dan berterusan terhadap aset-aset lebuh raya seperti cerun, struktur jambatan, terowong dan sebagainya.

Ulasnya lagi, ia bagi memastikan semua aset-aset tersebut berada dalam keadaan baik, seterusnya dapat menjamin keselamatan para pengguna lebuh raya sepanjang masa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI