fbpx

PH-BN terus jadi gabungan besar, mantap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tiga dari kanan) pada ceramah mega sempena kempen calon PH bagi Parlimen Padang Serai di Kulim, malam tadi

KULIM – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin Kerajaan Perpaduan dibentuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak akan berakhir dalam tempoh masa singkat.

Kata beliau, kerjasama itu sebaliknya akan terus mewujudkan satu gabungan besar yang mantap.

“Kerjasama ini bukan lima tahun, bukan 10 tahun, bukan 15 tahun kerana ia atas keikhlasan satu pasukan sebagai grand coalition antara parti-parti.

“Saya yakin jika trend ini dapat kita pertahankan, jika penyatuan dan perpaduan ini dapat kita teruskan, insya-Allah Malaysia akan gemilang, ekonomi kita akan lebih baik serta kos sara hidup akan dapat diatasi,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian pada ceramah mega sempena kempen calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Mohamad Sofee Razak di sini malam tadi.

Kata Ahmad Zahid, kesepakatan dalam gabungan tersebut juga akan menarik pelaburan asing dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan .

“Pelabur-pelabur dalam negeri juga akan mempunyai kepercayaan yang lebih kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negara kita ini,” ujarnya.

Kata beliau, BN dan PH juga tidak perlu lagi melihat kepada sejarah lampau dan perbezaan antara kedua-dua pihak itu.

“Kita harus melupakan perbezaan-perbezaan dalam kalangan kita. Baru dua minggu yang lalu saya kutuk mereka, mereka kutuk saya.

“Tidak ada kawan yang kekal, tidak ada musuh yang kekal. Itu pepatah tetapi rupa-rupanya di Malaysia pepatah itu adalah tepat yang mana diterjemahkan atas sifat keikhlasan sesama kita sebagai rakyat Malaysia walaupun berbeda parti sebelum itu,” jelasnya.

Tambahnya, BN yakin PH adalah rakan politik terbaik untuk mentadbir negara selain Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berkeyakinan terhadap Anwar sebagai pemimpin boleh diharapkan oleh rakyat. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI