fbpx

Pentas cungkil bakat baharu dalam bidang peragaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN daripada 54 peserta yang mengambil bahagian pada Pertandingan Model Kasual Bebas yang berlangsung di AEON Mall, Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

HAYUNAN langkah kaki dan lenggokan badan para peserta Pertandingan Model Kasual Bebas persis model terkemuka ketika beraksi di atas pentas sempena MRC Carnival Roadshow di AEON Mall, Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Pelbagai gaya dipersembahkan oleh model-model amatur itu bagi menonjolkan bakat mereka dalam bidang peragaan, sekali gus memikat hati juri untuk merebut gelaran juara.

Pertandingan Model Kasual Bebas anjuran M Studio dan Tadika Junior Harmoni itu membahagikan peserta kepada tiga kategori iaitu A (berusia empat hingga tujuh tahun), B (lapan hingga 12 tahun) dan C (13 hingga 45 tahun).

Menurut Pengasas M Studio, Jovince Teh, pihaknya mahu menggilap seramai mungkin bakat-bakat baharu menerusi pertandingan model seumpama itu.

“Kami ingin menyediakan platform terbaik kepada orang awam yang mahu menunjukkan bakat dan beraksi di atas pentas dengan penuh keyakinan. Peluang sebegini tidak selalu ada.

“Pertandingan Model Kasual Bebas ini disertai seramai 54 orang peserta dan kebanyakan mereka datang dari Nilai, Kuala Lumpur, Johor, Selangor serta Melaka,” kata wanita yang berasal dari Indonesia itu.

Tambah Jovince, pertandingan tersebut merupakan anjuran berterusan pihaknya dan selepas ini ada banyak lagi acara sedang dirangka dengan mengetengahkan tema berlainan serta lebih menarik.

“Sebelum ini, kami menganjurkan pertandingan model bertemakan pemakaian tradisional songket. Ia mendapat sambutan luar biasa daripada peserta.

PESERTA cilik turut mengambil bahagian pada pertandingan yang dianjurkan oleh pihak M Studio dan Tadika Junior Harmoni itu.

“Saya berharap orang ramai tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk menunjukkan bakat mereka di atas pentas,” ujarnya.

Bercerita mengenai pemilihan tema kasual bebas pada pertandingan kali ini, dia memberitahu, gaya tersebut lebih mudah dan tidak terlalu berat untuk para peserta melaksanakan tugasan itu, malah ia kelihatan lebih santai.

Juara Pertandingan Model Kasual Bebas bagi setiap kategori akan membawa pulang wang tunai, sijil, trofi, baucar daripada penganjur dan mengikuti kelas peragaan percuma di M Studio.

Sementara itu, Pengetua dan Jurulatih M Studio, Lucky Joe Mahardika berkata, walaupun para peserta masih amatur dalam bidang peragaan, namun dia tidak menyangka yang kebanyakan mereka mempunyai bakat sangat baik.

“Mereka (peserta) berpenampilan menarik, berjaya menterjemahkan tema kasual bebas dengan sangat baik dan menampilkan catwalk sangat kemas.

“Para peserta juga sangat yakin di atas pentas serta memberikan pose yang sangat bagus dengan gaya kreatif tersendiri,” tuturnya yang berpengalaman selama 22 tahun sebagai pengajar dalam bidang peragaan, lakonan dan persembahan.

Terangnya lagi, jika ingin bergelar model berjaya, seseorang itu bukan sahaja perlu memiliki wajah cantik, sebaliknya mereka juga harus pandai membawa diri, menjaga sikap, bijak dan boleh berkomunikasi dengan baik.

“Saya ingin menyarankan supaya anak muda di luar sana untuk mengikuti pertandingan sebegini bagi menyerlahkan bakat masing-masing. Pada masa sama, mereka juga perlu mengikuti kelas-kelas berkaitan peragaan.

“Bergelar model memberi pendedahan yang sangat baik dalam perkembangan kerjaya seseorang. Mereka berpeluang mendapat tawaran berlakon serta dilantik sebagai duta dan iklan komersial,” ulasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI