PADAWAN – Usaha penduduk kampung memadam kebakaran sebuah rumah di Kampung Sitang, Jalan Mambong di sini petang semalam menggunakan air paip dari gunung tidak berjaya apabila kediaman itu musnah dijilat api.
Kejadian itu turut menyebabkan tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, ketika hanya tinggal lebih dua minggu sahaja untuk menyambut perayaan Hari Krismas.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian kira-kira pukul 5.35 petang itu melibatkan mangsa berusia dua hingga 49 tahun.
“Setiba di lokasi kejadian, pihak kami mendapati sebuah rumah telah terbakar 100 peratus.
“Semasa kejadian, penduduk kampung turut membantu memadamkan kebakaran menggunakan sumber air paip dari gunung sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Tambahnya kesemua penghuni rumah berkenaan adalah selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya operasi tamat pada pukul 7.07 malam dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE