PETALING JAYA – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju untuk menangguhkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang sebelum ini dijadualkan pada hujung Disember ini kepada awal tahun depan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata PAU 2022 yang asalnya dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember ini, ditangguhkan kerana tarikh berkenaan bertembung dengan cuti persekolahan.
Sehubungan penangguhan itu, beliau memaklumkan pihaknya akan menghantar notis rasmi dalam masa terdekat berhubung tarikh baharu PAU 2022, iaitu pada 11 hingga 14 Januari tahun depan.
“Oleh kerana 21 hingga 24 Disember 2022 adalah waktu cuti sekolah dan ramai perwakilan yang ingin bercuti hujung tahun ke merata tempat, maka Perhimpunan Agung UMNO adalah ditangguh.
“Tarikh baharu ialah pada 11 hingga 14 Januari 2023. Harap dalam makluman tuan puan. Notis PAU 2022 akan dihantar secara rasmi tidak lama lagi,” katanya menerusi Twitternya sebentar tadi. – KOSMO! ONLINE.