PETALING JAYA – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bercadang untuk memperkenalkan dua peringkat harga bagi komoditi minyak sawit termasuk polisi dan
mekanisma pelaksanaannya.
Bagaiamanapun, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH), Datuk Seri Salahuddin Ayub, perkara itu akan diperincikan dan semua aspek akan diambil kira.
Jelas beliau, cadangan dan input yang diberi sangat berguna dan akan dicerakin dengan lebih terperinci sebelum sesuatu keputusan serta polisi baru dibangunkan supaya situasi menang-menang dapat dihasilkan untuk pengilang, peniaga dan pengguna.
“Saya amat gembira bila pemain industri bersedia menimbangkan pelaksanaan 2-tired pricing dan ini akan diperincikan sehingga semua aspek diambil kira.
“Pemain industri telah memberikan input yang positif terhadap impak harga siling bergerak, harga minyak masak bersubsidi dan harga minyak masak terpakai terhadap bekalan di pasaran,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Salahuddin, Kerajaan sangat prihatin dengan situasi sekarang dan sentiasa komited dalam menangani isu harga dan bekalan.
“Kementerian akan terus meningkatkan usaha membantu mengurangkan beban rakyat dan tidak akan teragak-agak untuk menguatkuasakan undang-undang sedia ada di bawah bidang kuasa Kementerian seperti Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB) untuk memastikan isu harga dan bekalan sentiasa terkawal,”katanya.
Terdahulu, Salahuddin mengadakan sesi libat urus dengan pemain-pemain industri minyak masak dan wakil-wakil Persatuan Pengilang Minyak Masak Malaysia.
Ia bertujuan mengenali dengan lebih dekat pemain industri, memahami permasalahan dan mendapatkan data penting sebelum dasar-dasar serta gerak kerja yang inovatif dapat dibangunkan dalam meningkatkan prestasi industri ini di samping bersama-sama membantu kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat.-KOSMO! ONLINE