JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri memohon bantuan peruntukan daripada pusat bagi melakukan pelan jangka panjang mengatasi masalah banjir kilat yang semakin kerap melanda negeri ini khususnya di kawasan Johor Bahru.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd.Jafni Md. Shukor berkata, isu ini tidak dapat ditangani dengan peranan yang dimainkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja sebaliknya memerlukan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Perairan dan Saliran (JPS).
Justeru, beliau mencadangkan satu ‘taskforce’ diwujudkan yang menggabungkan peranan ketiga-tiga entiti ini yang mempunyai peruntukan khusus daripada Persekutuan dalam merangka pelan jangka panjang bagi mengatasi isu yang semakin kritikal ini.
“Kita sudah ada ‘taskforce’ di peringkat PBT dan sudah mengenal pasti 120 ‘hotspot’ banjir kilat di seluruh negeri, 36 daripadanya terletak di daerah Johor Bahru.
“Bagaimanapun, tindak kerja yang dilakukan pihak PBT menjurus kepada pelan jangka pendek sahaja seperti penyelenggaraan saliran parit dan pembersihan sungai, ini tidak menyelesaikan isu ini sekiranya kuantiti air hujan terlalu tinggi.
“Jadi, kita memerlukan pelan jangka panjang namun ia bukan melibatkan bajet RM200,000, tetapi jutaan ringgit. Untuk peringkat PBT dan kerajaan Negeri sahaja tidak cukup, kita perlu kerajaan Persekutuan untuk bantu selesaikan isu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau keadaan beberapa buah rumah di Kampung Datuk Sulaiman Menteri, di sini yang musnah dalam kejadian ribut minggu lalu.
Kelmarin, hujan lebat yang berlarutan lebih dua jam menyebabkan beberapa kawasan terjejas akibat banjir kilat termasuklah di Lebuh raya Pasir Gudang hingga terputus laluan malah menyaksikan kenderaan orang awam ditenggelami air.
Selain Lebuh raya Pasir Gudang iaitu susur keluar dan masuk ke Bandar Seri Alam, Jalan Masai Lama, Jalan Kampung Ubi dan di Jalan Pandan menuju Bandar Kota Tinggi turut dinaiki air akibat banjir kilat. – KOSMO! ONLINE