KUALA LUMPUR – “Nak cari pasal tiada masalah. Ada masalah jumpa saya. Kita boleh duduk bincang kopi-kopi. Kalau nak publisiti muat naik dalam media sosial,” kata Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Senator Datuk Seri Zurainah Musa.
Zurainah berkata demikian apabila diminta mengulas berkenaan isu penyelewengan dana Finas yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Eizlan Yusof dan Ahmad Idham yang turut membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
Menurut Zurainah, isu yang dibangkitkan adalah remeh dan boleh dibincangkan kerana pihaknya mengamalkan pintu terbuka untuk penyelesaian sebarang permasalahan.
“Dia boleh membuat laporan polis tanpa ‘konflik of interest’ berhubung isu, guna duit mana dan siapa yang dapat keuntungan.
“Jadi, kalau dia sudah buat laporan polis, saya tidak boleh komen. Saya akan jawab bila saya ingin jawab. Bagi saya isu ini terlampau remeh,” ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran Rumah Artis, di sini sebentar tadi.
Isu penyelewengan tersebut timbul apabila Idham, bekas Ketua Pengawai Eksekutif Finas dan bekas ahli perbadanan agensi itu, Eizlan Yusof mendakwa Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menyalahguna kuasa bagi menjalankan projek pameran Hantu Filem bersempena penganjuran Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) yang diadakan di Melaka pada 29 November sehingga 1 Disember lepas.
Berikutan itu, Idham menuntut Zurainah memberi penjelasan bagaimana ahli lembaga pengarah Finas boleh mendapat kontrak menganjurkan pameran tersebut yang didakwa menelan belanja RM40,000.
Ulas Zurainah mengenai perkara tersebut, tiada isu perlu dibangkitkan kerana pemeran tersebut dianjurkan oleh persatuan bukannya individu.
“Orang yang menganjurkan adalah persatuan apa salahnya bukan individu, bukan juga ahli lembaga Finas. Tetapi persatuan itu yang menganjurkan untuk para artis dan juga kru.
“Finas akan bergerak agresif ke hadapan untuk membantu dan mengangkat industri kreatif. Itu pesanan saya kepada orang di luar sana,” kata Zurainah. – KOSMO! ONLINE