SUBANG JAYA – Masalah kemiskinan dilihat berlaku sepanjang masa melibatkan beberapa faktor yang menjadi penyumbang termasuk disebabkan kehilangan kerja dan kematian.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, golongan terbabit terdiri daripada miskin tegar, miskin sementara dan miskin baharu.
“Kumpulan miskin sementara selalunya disebabkan perkara-perkara seperti bermusim antaranya bencana hujung tahun, keperluan membeli barangan persekolahan dan selepas selesai, kehidupan mereka akan kembali baik.
“Ada juga yang kemiskinan segera seperti kita dapat lihat iaitu hari ini suami bekerja, esok suami hilang kerja selain mungkin sakit atau meninggal dunia dan ia akan menyumbang kepada kemiskinan baharu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Kongsi Rezeki dengan 2.5 peratus di sini semalam.
Mohd. Sabirin memberitahu, faktor ekonomi dan serangan pandemik Covid-19 juga menjadi penyumbang besar dalam pertambahan jumlah keluarga asnaf di Selangor.
“Masalah ekonomi, masalah pandemik yang berlaku, kami melihat trend (corak) ini akan terus menunjukkan peningkatan jumlah tersebut selain hasil pihak LZS yang akan terus aktif menjejak kumpulan asnaf ini dalam masyarakat,” ujarnya.
Kosmo! semalam melaporkan, jumlah keluarga asnaf di Selangor bakal meningkat dua kali ganda pada tahun 2030 iaitu melibatkan 157,000 keluarga berbanding 60,000 keluarga sebelum ini.
Mohd. Sabirin dilaporkan berkata, pada masa kini pihaknya menyantuni lebih 60,000 keluarga asnaf fakir dan miskin serta lebih 6,000 individu mualaf di negeri ini.
Angka itu dikatakan dijangka terus meningkat pada tahun-tahun akan datang, malah berdasarkan analisis Jabatan Perangkaan, menjelang tahun 2030 dijangkakan bilangan keluarga asnaf di Selangor mencecah sebanyak 157,000 keluarga.
Berita berkaitan: Keluarga asnaf Selangor bakal meningkat 157,000 tahun 2030