ABU DHABI – Penasihat pasukan Red Bull, Helmut Marko percaya Ferrari masih belum layak untuk menjadi pencabar utama kejuaraan menjelang saingan musim baharu Formula Satu (F1) tahun depan.
Meskipun Ferrari dilihat sebagai pasukan pilihan pada awal saingan musim ini selepas menampilkan aksi memberangsangkan dalam tiga perlumbaan awal, namun prestasi pasukan merudum ketika pertengahan 2022.
Beliau juga mendedahkan, pemandu utama Ferrari, Charles Leclerc masih belum menunjukkan potensi sebagai juara apabila melakukan banyak kesilapan sepanjang saingan musim ini sehingga mempengaruhi kedudukan pasukan.
“Kami mengharungi musim cukup hebat tahun ini tetapi bukan semuanya sempurna. Saya percaya masih banyak kerja perlu dilakukan Red Bull untuk mendominasi perlumbaan serta menewaskan Ferrari dan Mercedes.
“Saya tahu Ferrari kuat tetapi mereka belum setaraf Mercedes, terutamanya dari segi pelumba. Leclerc adalah pelumba bagus, namun masih lakukan banyak kesilapan dalam perlumbaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yakin pelumba Mercedes, Lewis Hamilton akan kembali lebih kuat pada saingan musim depan selepas juara dunia tujuh kali itu gagal memenangi sebarang perlumbaan tahun ini.
“Walaupun mereka masih belum setaraf dengan Red Bull tetapi Mercedes masih ada masa untuk lakukan ujian. Bagaimanapun, saya tidak bimbang kerana kami memiliki pelumba terbaik, Max Verstappen,” ujar Marko. – AGENSI