KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang juga ejen hartanah kerugian kira-kira RM7,739,356 setelah terpedaya penipuan Macau Scam yang bertopengkan pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, modus operandi sindiket Macau Scam tersebut menyamar sebagai pegawai KKM adalah yang terbaharu digunakan sekarang.
Katanya, laporan polis diterima sekitar pukul 12.30 tengah hari semalam daripada wanita berusia 66 tahun yang ditipu oleh individu mendakwa pegawai KKM dari Bahagian Khidmat Pelanggan Cawangan Putrajaya, 18 Mei lalu.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek telah menghubungi mangsa dan menyatakan terdapat 52 dos Vaksin Sinovac telah dimohon atas nama mangsa secara tidak sah dan siasatan sedang dibuat ke atasnya.
“Sejurus itu, panggilan mangsa disambungkan kepada ‘Polis DiRaja Malaysia (PDRM)’ dan suspek memaklumkan bahawa terdapat waran tangkap atas nama mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rentetan itu, mangsa dinasihatkan supaya membuka tujuh akaun bank tempatan yang baharu serta menyerahkan kesemua maklumat tujuh akaun bank tersebut kepada suspek.
Menurut Amihizam, mangsa yang panik telah diarahkan agar membuat transaksi pemindahan wang simpanan peribadi mangsa berjumlah RM7,739,356 ke dalam tujuh akaun baharu yang dibuka tersebut.
Katanya, setelah selesai transaksi dibuat seperti diarahkan suspek, mangsa membuat semakan dengan pihak Bank Negara Malaysia dan mendapati terdapat transaksi pengeluaran pada tujuh akaun tersebut.
“Mangsa tidak puas hati dan rasa tertipu kerana transaksi pengeluaran tersebut dilakukan tanpa pengetahuan dan kebenarannya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE