MANILA – Pemain tenis remaja Filipina, Alexandra Eala meletakkan sasaran tinggi melepasi saringan kelayakan kejohanan bertaraf Grand Slam, Terbuka Australia yang membuka tirai rasmi di Melbourne bulan depan.
Sebagai rekod, Eala, 17, mencipta fenomena apabila menjadi pemain pertama Filipina menjuarai saingan Grand Slam remaja Terbuka Amerika Syarikat (AS).
Eala yang menduduki ranking ke-219 dunia berharap layak ke pusingan utama Grand Slam buat kali pertama dalam kariernya.
“Secara peribadi, banyak kesukaran saya tempuh sepanjang tahun ini khususnya apabila dijangkiti Covid-19 dan kecederaan tetapi saya berjaya bangkit.
“Jika ditanya apa kelemahan yang perlu diperbaiki, sudah tentulah tahap kecergasan yang lebih baik di atas gelanggang selain dapat memulakan sesi latihan pramusim dengan baik.
“Sasaran awal saya adalah untuk melepasi saringan kelayakan Terbuka Australia dan harap ia dapat direalisasikan,” kata graduan Akademi Rafael Nadal itu.
Sementara itu, Eala mengakui agak terkejut dengan sokongan padu diberikan oleh peminat sukan tempatan yang memberi dorongan buatnya mencipta nama di pentas antarabangsa.
“Secara peribadi, saya tidak suka menjadi seorang yang terkenal tetapi penyokong mula memberikan perhatian kepada saya pada tahun ini, malah platform media sosial saya turut menjadi tumpuan,” katanya. – AGENSI