JAKARTA – Hampir 2,000 penduduk berpindah selepas Gunung Semeru meletus dengan menghamburkan abu panas lebih 1 kilometer (km) ke udara dan memuntahkan lahar, setahun selepas kejadian serupa meragut berpuluh-puluh nyawa.
Menurut portal berita MailOnline, Semeru merupakan gunung tertinggi di Pulau Jawa dan terletak sekitar 800 kilometer ke tenggara ibu kota Indonesia, Jakarta. Susulan letusan kelmarin, pihak berkuasa telah meningkatkan amaran gunung berapi itu kepada tahap tertinggi.
Gunung Semeru mula meletus sekitar pukul 2.46 pagi (waktu tempatan), kata pihak berkuasa. Tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) berkata, seramai 1,979 orang dibawa ke 11 pusat perlindungan, manakala sekurang-kurangnya enam perkampungan terjejas akibat letusan gunung berapi itu.
“Kebanyakan penduduk di dua buah kampung paling berisiko sudah dipindahkan,” kata jurucakap Badan Mitigasi Bencana Lumajang, Patria Dwi Hastiadi.
Penduduk kampung bergegas berpindah dengan menaiki motosikal. Ada motosikal yang dinaiki oleh tiga orang pada satu masa sambil membawa barangan masing-masing. Sebilangan penduduk lagi membantu warga emas berpindah dengan selamat.
Seorang penduduk menggambarkan keadaan panik yang berlaku apabila hujan abu gunung berapi mula menimpa kampung mereka.
“Ia amat gelap, saya tidak dapat melihat apa-apa. Ia bagaikan hujan yang menurunkan air dan debu. Saya tidak tahu di mana harus berlindung, saya hanya mahu menyelamatkan diri,” katanya yang enggan dikenali.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) kelmarin turut memberi amaran kepada penduduk setempat agar tidak berada dalam radius 8 kilometer dari kawah gunung berapi.
Tambah PVMBG, Gunung Semeru masih dalam fasa letusan meskipun saiz awan abu telah berkurang.
“Secara keseluruhan, aktiviti letusan masih tinggi,” kata PVMBG.
Gunung Semeru meletus pada 4 Disember tahun lalu yang membunuh sekurang-kurangnya 51 orang dan mengakibatkan ratusan mangsa melecur serius serta memaksa lebih 10,000 penduduk berpindah. – Agensi