DOHA – Walaupun Neymar dilaporkan sudah bersedia untuk kembali sertai pasukan, masalah kecederaan pemain terus ‘menghantui’ Brazil untuk menghadapi Korea Selatan pada pusingan 16 terbaik di Stadium 974 awal pagi esok.
Ketika ini, Brazil yang dilabelkan sebagai salah satu pasukan pilihan mungkin sudah boleh melupakan pemain utama seperti Gabriel Jesus dan Alex Telles selepas kedua-duanya mungkin tidak sempat pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
“Alex Telles dan Gabriel Jesus sudah menjalani ujian sambil diiringi doktor pasukan, Rodrigo Lasmar. Ujian imbasan yang dilakukan terhadap lutut kanan mereka mengesahkan tahap kecederaan mereka seakan mustahil untuk pulih tepat pada masanya,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Brazil.
Seakan menyedari situasi sukar sedang menghimpit The Selecao, pengendali pasukan, Tite turut melarang pihak media menghadiri sesi latihan, namun terpaksa akui situasi sekarang begitu mencabar untuk dilalui.
“Tuntutan fizikal pemain begitu mendesak dan masa juga agak singkat. Inilah kesan kumulatif perlawanan dan adakalanya kami tidak ada masa untuk melakukan proses pemulihan.
“Saya tidak tahu apa lagi yang perlu dikatakan selain semua perkara itu. Daripada segi kehendak, sudah pasti kami mahukan piala ini, namun ia agak meletihkan.
“Intensiti perlawanan dan persiapan menjadi elemen yang perlu kami analisis secara terperinci,” katanya.
Malah pemain seperti Danilo dan Alex Sandro yang terpaksa diketepikan sebelum ini belum lagi pasti mampu diturunkan atau pun sebaliknya. – AGENSI