AL RAYYAN – Ketua jurulatih Belanda, Louis van Gaal mendakwa pasukannya kini mempunyai peluang besar untuk menjuarai saingan Piala Dunia 2022 selepas mengesahkan tiket ke peringkat suku akhir.
Kejayaan itu hadir selepas The Oranje tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan 3-1 ke atas Amerika Syarikat (AS) pada pusingan 16 terbaik di Stadium Antarabangsa Khalifa malam kelmarin.
Kini, Van Gaal yang pernah membawa Belanda meraih tempat ketiga pada 2014 di Brazil, percaya situasi itu mampu diulangi anak-anak buahnya dalam edisi kali ini.
“Saya memperkatakannya sejak bertahun lalu bahawa kami mampu menjadi juara dunia. Saya fikir kami mempunyai peluang besar di sini.
“Kami masih ada tiga lagi perlawanan untuk merealisasikannya. Saya bangga dengan para pemain dan percaya prestasi serta keputusan telah membuktikan kami mampu melakukannya,” kata Van Gaal.
Belanda meraih tiga gol malam kelmarin menerusi Memphis Depay pada minit ke-10, Daley Blind (m-45) dan Denzel Dumfries (m-81), manakala Haji Wright menghadiahkan jaringan sagu hati buat AS.
Fokus Belanda kini beralih ke perlawanan getir menentang Argentina untuk aksi suku akhir di Stadium Lusail pada Sabtu ini.
Argentina mara ke suku akhir selepas merakam kemenangan tipis 2-1 ke atas Australia dalam satu lagi aksi pusingan 16 terbaik yang berlangsung di Stadium Ahmad bin Ali awal pagi semalam.
Ia bukan tugas mudah kerana The Oranje hanya berupaya mencatat satu kemenangan daripada empat perlawanan menentang Argentina sejak kali pertama bertemu pada 1978.
Belanda tidak pernah merangkul kejuaraan Piala Dunia dalam sejarah penganjuran kejohanan berprestij itu dengan pencapaian terbaik adalah muncul naib juara sebanyak tiga kali. – AGENSI