AL RAYYAN – Pengendali Amerika Syarikat (AS), Gregg Berhalter mendakwa skuad kendaliannya tersingkir daripada pentas Piala Dunia 2022 adalah disebabkan tiada penyerang berkelas dunia.
Situasi itu menyebabkan AS terpaksa ‘berputih mata’ untuk ke suku akhir apabila tumbang 1-3 kepada Belanda pada pusingan 16 terbaik di Stadium Antarabangsa Khalifa malam kelmarin.
“Anda boleh melihat perbezaan yang ketara antara jentera serangan kedua-dua pasukan dalam perlawanan ini. Kami ketinggalan sedikit di belakang Belanda dari segi serangan.
“Mungkin kami ada peluang jika mempunyai pemain seperti Memphis Depay yang kini beraksi di Barcelona dan penuh pengalaman di Liga Juara-Juara.
“Ia normal kerana kami mempunyai barisan pemain muda yang baru mahu memulakan karier mereka. Saya percaya kami mampu mengejar negara-negara besar tidak lama lagi,” katanya.
Biarpun menurunkan tiga penyerang diketuai Jesus Ferreira, Haji Wright dan Josh Sargent, tetapi AS masih gagal untuk merobohkan tembok kebal Belanda sepanjang 70 minit permainan.
Malangnya, AS yang ketinggalan dua gol pada babak pertama menerusi Depay dan Daley Blind sebelum bangkit merapatkan jurang dengan jaringan Wright pada minit ke-76.
Harapan AS untuk mencari gol penyamaan terkubur selepas Belanda meledak jaringan ketiga melalui Denzel Dumfries pada minit ke-81, sekali gus mengesahkan kemenangan The Oranje.
Bagaimanapun, AS seharusnya layak berbangga kerana sekurang-kurangnya mereka mengulangi pencapaian pada dua penampilan terakhir iaitu pusingan 16 terbaik sewaktu edisi 2010 dan 2014.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik AS di pentas Piala Dunia adalah meraih tempat ketiga sewaktu edisi pertama kejohanan itu dianjurkan di Uruguay pada 1930. – AGENSI