MELAKA – Seorang pekerja restoran asam pedas berdepan hukuman penjara lima tahun selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan merakam gambar wanita membuang air kecil, bulan lalu.
Majistret Mazana Sinin bagaimanapun menangguhkan hukuman terhadap tertuduh, Muhammad Azizi Hazim Kamarudin, 18, pada tarikh 11 Januari tahun hadapan bagi menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati telah mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan cara merakam gambar mangsa ketika sedang membuang air kecil tanpa pengetahuannya menggunakan telefon bimbit yang mengganggu kesantunan mangsa.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 3.35 petang di sebuah restoran asam pedas di Jalan Plaza Mahkota di sini, pada 14 November 2022.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili Peguam, Muhammad Izzuddin Ab. Malek merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan ia merupakan kesalahan pertamanya, selain hanya dibayar upah RM350 seminggu sebagai pelayan kedai.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha bagaimanapun mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.
Mazana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin. KOSMO! ONLINE