fbpx

‘Pak Menteri’ jadikan Malaysia lebih baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian jemaah menteri yang hadir pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara, Kuala Lumpur kelmarin.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah, pelantikan Perdana Menteri ke-10 juga sudah, manakala pelantikan barisan 27 anggota Kabinet yang baharu juga sudah apabila semua mereka selesai mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara Sabtu lalu.

Jadi sekarang, tibalah masanya kepada semua yang dilantik menganggotai pasukan jemaah menteri untuk melak­sanakan segala amanah yang dipertanggungjawabkan termasuk menunaikan segala janji yang ditabur semasa berkempen pada PRU15.

Paling penting sekarang ialah, hentikan segala polemik atau pergaduhan politik sama ada dalam kalangan ahli politik sendiri mahupun dalam kalangan para penyokong mereka kerana tumpuan harus diberikan 100 peratus kepada kerja untuk negara.

Pertelagahan politik yang berterusan sehingga mengheret rakyat tidak akan membawa negara ke mana-mana, sebaliknya hanya akan menjerumuskan kita mundur ke belakang.

Antara perkara yang paling utama ketika ini ialah membawa negara kembali ke landasan yang betul dengan menjadikan Malaysia kembali sebagai sebuah kuasa ekonomi yang disegani di rantau ini dengan harapan limpahannya akan dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat.

Langkah-langkah segera juga perlu diambil bagi mempersiapkan negara untuk menghadapi keadaan ekonomi yang dijangka tidak menentu pada tahun hadapan supaya kesannya kepada rakyat dapat diminimumkan selain proses pembangunan dapat diteruskan dan berjalan se­perti yang dirancang.

Tidak dinafikan ia bukanlah satu tugas yang mudah, namun usaha-usaha untuk memperkasakan ekonomi ini sangat penting kerana ia bakal memberi kelebihan dan kelancaran kepada proses pembangunan fizikal negara di samping akan dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Selain itu, segala permasalahan melibatkan kekurangan atau peningkatan harga bahan makanan seperti telur, ayam, gandum dan sebagainya juga perlu segera ditangani.

Masalah kekurangan bekalan telur yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu misalnya, perlu ada jalan penyelesaian yang segera.

Rakyat tidak boleh dibiarkan berterusan untuk menghadapi senario kekurangan bekalan makanan seperti telur kerana ia bukan sahaja akan menyusahkan kehidupan orang ramai khususnya B40, malah turut memberi imej yang buruk terhadap kerajaan.

Kerajaan bukan sahaja kena pastikan semua bekalan makanan mencukupi, tetapi harganya juga haruslah terkawal. Tiada gunanya jika stok bekalan banyak, tetapi harganya melambung tinggi dan berada di luar kemam­puan masyarakat.

Jadi kepada semua ‘Pak Menteri’, peluang sudah diberi dan kuasa sudah berada di tangan, maka laksanakan amanah yang diberi dengan sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Ingat ya ‘Pak Menteri’, jadikan negara ini lebih baik berbanding sebelumnya dan bukannya menjadi lebih teruk atau mundur ke belakang.

Jangan sekali-kali jadikan jawatan menteri hanya sebagai platform untuk bersenang-lenang tanpa melakukan apa-apa untuk rakyat. Selamat bertugas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI