KUALA LUMPUR – Zepp Kuala Lumpur menjadi saksi keindahan bugarnya Padi Reborn memenuhi keinginan meraikan sambutan jubli perak penubuhan sejak 25 tahun lalu apabila berkongsi pentas bersama idola mereka, Datuk Sheila Majid.
Vokalisnya, Fadly meluahkan rasa terharu apabila Ratu Jazz Malaysia itu terus bersetuju memenuhi undangan untuk berpadu suara dalam segmen khas dalam Konsert 25 Tahun Padi Reborn, Sabtu lalu.
Mereka memilih lagu Kasih Tak Sampai daripada album kumpulan itu, disusuli duet bagi seleksi wajib Sheila iaitu Antara Anyer dan Jakarta serta Warna yang mendapat tepukan gemuruh khalayak.
Terdahulu, Bayangkanlah daripada album Sesuatu Yang Tertunda terbitan tahun 2001 menjadi pemanas sebaik tirai persembahan dibuka tepat pada pukul 8.30 malam.
Momentum malam bersejarah Padi Reborn dihangatkan dengan Sang Penghibur, Rapuh, Lain Dunia, Sesuatu Yang Indah, Ternyata, Sobat, Sahabat Selamanya, Cinta Tempat Terakhir, Mahadewi dan Begitu Indah.
Sudah pasti antem Padi Reborn yang ditunggu-tunggu, Menanti Sebuah Jawaban antara dendangan paling meraih sambutan Sobatpadi hingga gema di Zepp seakan-akan enggan berakhir.
Sepanjang durasi lebih tiga jam, Fadly bersama Piyu (gitar utama), Ari (gitar), Rindra (bass) dan Yoyo (dram) bagai tiada lelah membawakan sekitar 25 karya yang membuai jiwa raga khalayak.
Turut menyuntik rasa teruja apabila mereka tidak ketinggalan menyelitkan segmen akustik yang tentu saja memberikan kepuasan tersendiri.
Sesekali Fadly yang bijak menguasai pentas mengambil peluang menzahirkan penghargaan kepada peminat Malaysia sejak 1997 ketika mereka membawakan nama Padi.
Malah penyanyi, pemuzik dan penulis lagu berusia 47 tahun itu memaklumkan ‘kehilangan’ mereka dari industri hiburan selama tujuh tahun membawa semangat baru menerusi Padi Reborn.
Benar bagai dikata, empat figura daripada band berpengaruh Indonesia ini memang mengikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
Biar mempunyai nama besar, tidak sedikit pun mereka membangga diri, sebaliknya berterusan melayangkan penghargaan kepada peminat serta pasukan yang berada di sisi mereka selama ini.
Terdahulu, Qew Communications selaku penganjur mengumumkan RM1 daripada jualan tiket konsert berkenaan akan disalurkan kepada anak-anak asnaf.- KOSMO! ONLINE