PUTRAJAYA – Mesyuarat Khas Kabinet pertama yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersidang dengan kehadiran penuh di Bangunan Perdana Putra, pagi ini.
Mesyuarat yang bermula tepat pukul 10 pagi tadi itu mula bersidang sebaik kesemua 28 menteri yang mengangkat sumpah Sabtu lalu tiba di bangunan pejabat Perdana Menteri dengan kenderaan rasmi masing-masing.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi, dilihat yang pertama memasuki bangunan Perdana Putra pada pukul 8.02 pagi sebelum disusuli oleh Anwar Ibrahim kira-kira lima minit kemudian.
Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, mesyuarat itu akan membincangkan mengenai beberapa peraturan baharu yang perlu diikuti barisan jemaah menteri di bawah pimpinannya.
Terdahulu, dua Timbalan Perdana Menteri dan beberapa Jemaah Menteri hadir ke kementerian masing-masing bagi mengimbas kad perakam waktu (clock-in) sebagai simbolik permulaan tugas rasmi mereka. – KOSMO! ONLINE