PETALING JAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, meluahkan perasaan gembira apabila dapat bekerja semula dengan pemandu lamanya sewaktu menerajui kementerian tersebut selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sebelum ini.
Selepas PRU15 baru-baru ini, beliau kembali ke kementerian tersebut di bawah Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Selamat pagi Malaysia, saya gembira dapat bekerja semula dengan ‘pilot’ saya, saudara Hazril.
“Saya pernah menceritakan kisah saya dengan Hazril semasa saya meninggalkan Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Mac 2020,” katanya pada hantaran Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengguna supaya sentiasa menggunakan tali pinggang sebagai langkah keselamatan.
“Kepada rakan-rakan semua, sentiasa pakai tali pinggang tidak kira di tempat duduk depan mahupun di belakang. Pandu cermat, pasti selamat. Berhati-hati di jalan raya ya. Selamat bertugas kepada semua,” ujarnya.
Pada hantaran tersebut, Anthony turut memuat naik gambar bersama Hazril pada Facebook beliau. – KOSMO! ONLINE