fbpx

Kaut untung tipu dekorasi hari jadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barangan dan dokumen yang dirampas serta Instagram suspek yang memperdaya mangsanya.

SHAH ALAM – Perbuatan seorang pengusaha dekorasi gubahan belon hari jadi mengaut keuntungan mudah dengan melakukan penipuan perkhidmatannya itu sejak lima bulan lalu terbongkar apabila ditahan di sebuah kondominium di Kerinchi, kelmarin.

Suspek wanita berusia 30 tahun diberkas menerusi serbuan pukul 4.30 pagi selain beberapa barangan termasuk dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut dirampas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, tangkapan itu susulan laporan salah seorang mangsa yang kerugian RM700 selepas suspek gagal menyediakan perkhidmatannya pada hari dijanjikan.

Katanya, mangsa mengetahui perniagaan ditawarkan suspek itu menerusi laman instagram.

“Menerusi serbuan itu, polis telah merampas satu set komputer termasuk unit pemprosesan komputer (CPU), 15 buah beg tangan pelbagai jenama, tiga buah kasut serta sebuah i-Pad Pro.

“Turut dirampas adalah sampul surat berwarna putih mengandungi dokumen SSM dan peguam selain dua telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Iqbal menambah, siasatan mendapati suspek dipercayai telah melakukan aktiviti penipuan itu sejak Julai.

Ujarnya, suspek juga didapati mengenakan harga RM500 ke atas mengikut dekorasi dan pakej yang ditawarkan dalam instagramnya.

“Siasatan masih dijalankan sama ada suspek menjalankan atau membuat acara melibatkan hari jadi dan aqiqah atau sebaliknya.

“Semakan awal mendapati suspek juga terlibat dalam enam lagi kes di daerah Selangor dan Kuala Lumpur. Justeru, polis orang awam yang menjadi mangsa untuk tampil membuat laporan polis,” katanya.

Mohd. Iqbal menegaskan pihaknya tidak menolak kemungkinan jumlah pengikut yang ramai mungkin menjadi antara faktor mangsa terperdaya menggunakan khidmatnya.

Berdasarkan semakan Kosmo! mendapati laman instagram tersebut telah dibuka Oktober 2017 dan kini mempunyai lebih 12,000 pengikut dengan telah membuat lebih 3,000 hantaran.

“Suspek kini direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelas Mohd. Iqbal. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI