fbpx

Jenazah Ketua Polis Daerah Jeli selamat dikebumikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wakil Istana Kelantan (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Zalihar (dua dari kanan) semasa mengunjungi rumah keluarga arwah Ahmad di Kampung Bechah Resak di Tumpat hari ini.

TUMPAT – Jenazah Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Arifin,47, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Bemban, Kampung Bechah Resak di sini, sebentar tadi.

Allahyarham dikebumikan kira-kira pukul 11 pagi tadi di kawasan tanah perkuburan yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

Isterinya, Zalihar Zakaria, 45, berkata, dia dan keluarga terkejut apabila arwah pergi secara tiba-tiba apabila hanya mengalami demam biasa dan sakit-sakit badan pada Khamis lalu.

Menurutnya bagaimanapun, keadaan kesihatannya semakin merosot semalam sebelum terus dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital KPJ Perdana, Kota Bharu kira-kira pukul 8 pagi.

“Keadaannya semakin lemah sehingga perlu bantuan mesin oksigen untuk bernafas. Dia akhirnya menghembuskan nafas kira-kira pukul 9.43 malam tadi di sisi saya.

“Saya reda dengan ketentuan Allah SWT. Dia pergi dengan mudah dan seperti sedang tersenyum. Arwah juga tidak pernah mengalami sebarang penyakit kronik sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Bechah Resak, Chabang Empat di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham Ahmad.

Ahmad meninggalkan seorang balu dan lima orang anak berusia lima hingga 22 tahun.

Kosmo! Online semalam melaporkan, Ahmad meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada salur kencing, kencing manis dan tekanan darah rendah kira-kira pukul 9.43 malam tadi.

Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dalam satu kenyataan berkata, beliau menghembuskan nafas di ICU, Hospital KPJ Perdana, Kota Bharu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI