PASIR MAS – Seorang penduduk di Kampung Tok Rusa di sini, menggunakan wang simpanannya sebanyak RM1,000 bagi membina sebuah bangsal terapung sebagai persediaan menghadapi musim banjir.
Fauzi Dollah, 59, berkata, bangsal kayu yang menggunakan enam tong sebagai pelampung dijadikan tempat untuk menyimpan barangan perkakasan rumah dan elektrik daripada rosak ditenggelami banjir.
Katanya, dia menggunakan kanvas sebagai bumbung bangsal untuk melindungi barangan perkakasan rumah.
“Ini merupakan salah satu usaha saya untuk menyelamat harta benda memandangkan setiap tahun kawasan rumah sering ditenggelami banjir.
“Hanya anak-anak dan isteri yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), manakala saya akan bermalam di rumah kerana bimbang harta benda dicuri,” katanya ketika ditemui semalam.
Katanya, persediaan awal ini penting bagi memastikan semua berjalan lancar sebaik sahaja air Sungai Golok mula melimpah masuk ke kawasan rumah.
Katanya, faktor cuaca yang tidak menentu membuatkan dia mengambil langkah awal dengan menyimpan semua barangan di tempat selamat.
“Setiap kali banjir, air yang masuk ke dalam rumah biasanya akan mencecah satu meter. Meskipun sudah biasa, namun kami tetap perlu waspada,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE