PETALING JAYA – Berikutan kontroversi penggunaan nama V.E yang menjadi isu hangat, Adeep, Cham, Hakim, dan Fakhiz mengumumkan pengunduran diri daripada kumpulan tersebut.
Keputusan dibuat selepas Zaf yang merupakan ahli asal V.E tidak berpuas hati dengan penggunaan nama kumpulan tersebut dengan alasan itu satu bentuk plagiat atau peniruan idea secara bulat-bulat.
Bukan sahaja mengundur diri daripada V.E, Adeep turut memutuskan persahabatannya dengan ahli anggota lama kumpulan itu.
“Saya anggap sebagai sesuatu perkara yang hebat apabila dijemput berada dalam V.E pada tahun 2018 tetapi dengan apa yang telah terjadi saya isytihar untuk keluar daripada kumpulan ini.
“Sepanjang berada dalam Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), saya persembahkan apa yang mampu tetapi mereka kata ciplak.
“Terima kasih memberikan peluang kepada kami untuk bawa nama V.E selepas berhempas-pulas dalam GV9 tetapi kalian maki hamun kami, sahabat sampai di sini sahaja,” kata Adeep dalam nada sebak.
Tambah bekas anggota kumpulan The Fabulous Cat itu, keputusan menamatkan persahabatan dibuat kerana tidak mahu menjadi racun dalam kumpulan tersebut.
“Kita sudah cukup dewasa untuk mengendalikan permasalahan ini. Jangan jadi ‘keyboard warrior’.
“Saya sayangkan kumpulan V.E ini dan apabila berpeluang beraksi bersama di pentas GV bersama Cham, Hakim dan Fakhiz, saya rasa kami semua telah memainkan peranan untuk sama-sama angkat jenama ini.
“Namun, akhirnya keputusan ini terpaksa dibuat kerana kami semua enggan menjadi racun kepada kumpulan ini. Jika orang tidak suka, kami bawa diri keluar dari situ,” katanya ketika sidang akhbar di HMO Space Damansara hari ini.
Keputusan pengunduran diri daripada kumpulan V.E turut disokong oleh Hakim, Cham, dan Fakhiz.
Terdahulu, ketua kumpulan yang juga ahli asal V.E iaitu Zaf memberi saranan agar anggota yang menggunakan nama terbabit dalam Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) supaya bergerak dengan menggunakan nama baharu.
Menurutnya Zaf, tindakan tersebut dilakukan bukan untuk mengeruhkan keadaan, sebaliknya bertujuan menjaga hubungan silaturahim sesama sendiri, selain mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pelbagai pihak.
Selain Zaf, bekas seorang anggota asal kumpulan itu, Damian Mikhail turut tidak sebulu dengan kemunculan V.E versi baharu di pentas GV9. – KOSMO! ONLINE