DEK mahu menebus kesalahannya mencuri ketika berusia 14 tahun, aktor terkenal Dwayne Johnson bertindak memborong semua coklat di sebuah kedai serbaneka di Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Ujar pelakon berusia 50 tahun itu, ketika kejadian, dia bersama beberapa orang rakannya mencuri coklat jenama Snickers di sebuah kedai serbaneka kerana tidak mempunyai wang untuk membelinya.
“Saya sukakan coklat Snickers, tetapi saya tidak mempunyai wang untuk membelinya. Jadi saya mencuri coklat itu setiap kali pergi ke kedai serbaneka tersebut,” jelasnya.
Bagaimanapun, bagi menebus kesalahannya, Johnson yang turut dikenali dengan nama The Rock memborong kesemua coklat jenama Snickers di sebuah kedai serbaneka.
Dia kemudian memberikannya secara percuma kepada pelanggan yang datang ke kedai tersebut.
“Saya beli semua sebab rasa bersalah dan sekarang saya sudah mempunyai wang untuk membeli semua coklat tersebut,” katanya.