PETALING JAYA – Penyanyi popular, Datuk Nash menafikan dirinya berada dalam kritikal seperti dilaporkan beberapa buah blog.
Sebaliknya, penyanyi itu memaklumkan beliau cuma mengalami kekejangan otot hingga terpaksa duduk di atas kerusi roda ketika mendapatkan rawatan di hospital.
Kata penghibur berusia 63 tahun itu, impak penyebaran berita palsu tersebut menyebabkan saudara-mara terdekat termasuk adik-beradik dan kenalan menangis ketika menghubunginya.
“Saya memang kena sakit pinggang yang amat sangat. Sakitnya Allah saja yang tahu. Seluruh badan saya kejang, kaki tak boleh gerak, tapi tidaklah sampai kritikal.
“Mereka bertanya betulkah saya dalam keadaan teruk sangat dan kritikal? Ada yang menangis teresak-esak bila dengar suara saya dalam telefon,” katanya menerusi hantaran video dalam Facebook.
Begitupun, Nash atau nama sebenarnya Nashrudin Elias memaklumkan sudah memaafkan
pihak yang menyebarkan laporan tidak tepat selain menggunakan gambar kemalangan lama.
“Saya maafkan mereka yang buat laporan perkara tak betul dan juga yang muat naik kembali gambar saya sewaktu terbabit dalam kemalangan jalan raya sekitar dua tahun lalu.
“Tidak mengapa, perkara sudah pun berlaku. Terima kasih sekali lagi dan saya juga doakan yang baik-baik untuk semua,” kongsinya.
Dalam hantaran sama, penyanyi lagu Pada Syurga Di Wajahmu itu merakamkan penghargaan kepada semua kenalan Facebook yang meninggalkan doa dan ucapan positif.
“Terima kasih kepada penggemar saya di seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak, Brunei, Singapura serta sahabat di Mekah.
“Alhamdulillah saya mendapat doa dan nasihat penuh kasih sayang daripada mereka berkenaan kesihatan saya,” ujarnya lagi.
Semalam, Nash meminta rakan serta peminat mendoakan keadaannya yang sukar bergerak akibat salah urat supaya dapat pulih seperti sedia kala.
Katanya, ketika membongkok untuk mengambil wuduk, pinggangnya terus tersentap hingga sukar berdiri tegak dan terpaksa duduk di atas kerusi ketika menunaikan solat Maghrib.
Namun keadaan pinggangnya semakin baik selepas mendapatkan suntikan di sebuah hospital sekali gus meredakan sedikit kesakitannya. – KOSMO! ONLINE