KUCHING – Seorang wanita warga asing cedera setelah terlibat dalam kebakaran yang berlaku di Jalan Nyatoh, Kampung Rampangi Petra Jaya, di sini, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sekitar pukul 8.11 pagi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datuk Khirudin Drahman berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan BBP Padungan telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut laporan diterima, terdapat letupan berlaku di dalam rumah banglo satu tingkat berkenaan.
“Setibanya di tempat kejadian, pihak bomba mendapati kebakaran itu melibatkan perkakas memasak dan kabinet dapur.
“Seorang wanita mengalami kecederaan selepas berusaha memadamkan kebakaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Khirudin, tiada gerak kerja pemadaman dilakukan oleh pasukan pemadam memandangkan api telah berjaya dipadamkan oleh mangsa.
“Wanita yang berusia lingkungan 50an itu dilaporkan selamat dan mengalami kecederaan pada bahagian kaki paha kanan akibat serpihan kaca.
“Mangsa telah diberikan rawatan awal oleh Unit Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan kemudiannya dihantar ke hospital.
“Keadaan terkawal pada pukul 8.20 pagi manakala, operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 8.38 pagi tadi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.