PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk mengurangkan jumlah cabutan khas atau istimewa nombor ramalan empat digit (4D) kepada lapan kali setahun berbanding 22 kali ketika ini bermula 1 Januari tahun hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan tersebut dibuat beliau biarpun baru sehari menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan.
“Hari ini saya telah arahkan agar cabutan khas 4D dikekalkan pada tahap lama iaitu sebanyak lapan kali setahun .
“Umpamanya, satu hari saya jadi Menteri Kewangan, saya boleh ambil keputusan untuk membatalkan keputusan awal tahun ini mengenai cabutan khas perjudian yang dilakukan dengan Jemaah Menteri yang disertai Bersatu dan Pas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet pertama Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra di sini hari ini.
Pada tahun 2021, kerajaan ketika itu telah memberikan kebenaran kepada syarikat berkaitan untuk mengadakan sebanyak 22 kali ‘cabutan khas’ nombor 4D bagi tahun ini iaitu tiga kali ganda daripada biasa. – KOSMO! ONLINE.