KUALA PILAH – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bakal menerima dua lagi projek pembangunan baharu yang sudah diluluskan dalam Belanjawan 2023 dengan kos RM7.63 juta.
Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata, projek berkenaan membabitkan Projek Pembinaan Pejabat Agama Islam Port Dickson dan Dewan Terbuka dengan kapasiti 1500 orang di Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan.
Menurut beliau, kelulusan yang diberikan itu menunjukkan tumpuan oleh kerajaan negeri terhadap aspek kerohanian dan agama Islam di negeri ini.
“Justeru, kita semua dituntut untuk lebih bersegera dalam semua tindakan bagi setiap arahan jabatan dan negeri yang telah diterima agar terlaksana dengan cepat dan teratur selaras dengan prinsip S.W.I.F.T (Speed , World Class Knowledge, Inspirational, Flexible, Technology-based).
“Prinsip ini ialah pendekatan baharu pasca pandemik sektor awam yang menjadi teras perkhidmatan yang mapan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena Majlis Penyerahan Kompleks JHEAINS Kuala Pilah, di sini, hari ini.
Majlis penyerahan antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan JHEAINS berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Turut hadir, Pengarah JKR Negeri Sembilan, Or Wan Hasnan Wan Musa dan Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap.
Aminuddin turut menyampaikan Dana Infak bagi pembinaan Masjid Warisan Kuala Pilah di Ulu Bendul oleh MBI sebanyak RM100,000.
Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri sememangnya amat komited untuk meningkatkan pembangunan infra agama seperti kompleks, masjid dan surau untuk memberi manfaat kepada masyarakat setempat khususnya.
Menurutnya, sebelum ini langkah yang sama telah dilaksanakan di Jelebu diikuti di Kuala Pilah dan pada tahun hadapan pula di Port Dickson, selain di daerah Jempol pula sedang dibina Kompleks Mahkamah Syariah.
Dalam pada itu menurutnya, pembangunan infra agama di Kuala Pilah sentiasa menjadi agenda utama memandangkan lokasi itu terkenal serta menjadi tumpuan dengan itik dan daging salai di laluan Seremban-Kuala Pilah.
“JHEAINS Kuala Pilah memandang situasi ini sebagai satu peluang untuk menyinarkan lagi syiar Islam di bumi bertuah ini. Berkat muafakat bersama, tercetuslah idea untuk membina sebuah masjid warisan berkeluasan 2.5 ekar di Kariah Ulu Bendul, Kuala Pilah.
“Masjid unik yang berkonsepkan binaan kayu sepenuhnya ini, insya Allah bakal meningkatkan syiar Islam di Ulu Bendul seterusnya menjadi tumpuan pelancong dan pengunjung yang melalui kawasan tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE