PETALING JAYA – Tindakan seorang kanak-kanak perempuan memakai baju bapanya yang bekerja sebagai pemungut sampah sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia bertemakan kerjaya mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Video dikongsi bapa kanak-kanak itu di akaun Tik Tok miliknya, @md_nuar menunjukkan anaknya langsung tidak segan menyarung baju kerjanya sebagai seorang pemungut sampah.
Susulan perkongsian itu, orang ramai melahirkan rasa bangga dengan kecekalan dan semangat kanak-kanak tersebut yang tidak malu dengan kehidupan keluarganya.
“Contoh anak yang dibesarkan oleh ibu bapa yang budiman berjaya mendidik keperibadian mulia dalam diri anak-anak. Syabas!,” komen @tuliptune.
“Anak yang hebat mindanya, dia tahu nilai setiap pekerjaan ada manfaatnya kepada agama, bangsa dan negara. Tahniah ibu bapanya,” tulis @cikguhoneyybee di ruangan komen.
“Dia faham walau apa pun pekerjaan, jangan pandang rendah kerana semuanya halal yang kita makan dari setiap wang ringgitnya,” tulis pengguna TikTok @Kogilayouvaraja.
Dalam pada itu, terdapat juga orang ramai yang berkongsi pengalaman yang hampir sama ketika zaman kecil dahulu berhubung pekerjaan seorang bapa yang menyara mereka sehingga menjadi orang yang berjaya.
“Macam aku dari kecil tengok Abah bina rumah, aku belajar sehingga menjadi jurutera, walau apa pun pekerjaan Abah, itu lah rezeki kami dapat belajar,” kongsi pengguna TikTok di ruangan komen.
“Menangis saya teringat arwah ayah hanya seorang penoreh getah untuk menyara kami 8 beradik, ayah tidak pernah mengenal erti lelah, bila kami sudah berjaya, ayah pula tiada, ya Allah,” kongsi seorang pengguna lagi.
Setakat ini, video penuh reaksi tersebut telah meraih sebanyak lebih 300,000 tontonan, 54,000 tanda suka dengan 764 perkongsian. – KOSMO! ONLINE.