fbpx

183 peniaga dikompaun RM42,400

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Khairi (kanan) melakukan pemeriksaan bekalan dan harga ayam, telur ayam dan minyak masak paket di Pasaraya NSK Selayang di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

GOMBAK – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Selangor, telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM42,400 terhadap 183 peniaga di bawah Pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam bermula 5 Februari hingga Sabtu lalu.

Ketua Penguatkuasa KPDNKSH Negeri, Mohd Khairi Jamaludin berkata, ia hasil pemeriksaan ke atas 6,635 premis melibatkan 190 pemborong dan 6,445 peruncit di sekitar negeri ini.

“Sejumlah 183 peniaga telah dikenakan tindakan yang meliputi kesalahan menjual melebihi harga maksimum 28 kes, gagal meletakkan tanda harga khas warna merah jambu (144) dan gagal mempamerkan tanda harga (11),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan bekalan dan harga ayam, telur ayam, minyak masak di pasar raya NSK di sini, hari ini.

Tambahnya, sejak Januari hingga November pihaknya menerima sebanyak 146 aduan daripada pengguna melibatkan 95 aduan berkaitan harga dan bekalan makanan manakala 51 aduan berkaitan minyak masak.

“Aduan itu kita ambil maklum dan laksanakan tindakan proaktif di peringkat lapangan bersama pegawai.

“Di samping pemeriksaan, kita juga melaksanakan libat urus bersama pihak peniaga untuk membantu mereka mendapatkan bekalan di peringkat pembekal,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khairi turut memaklumkan berdasarkan pemantauan pihaknya mendapati kira-kira 35 peratus sahaja berlaku kekurangan bekalan telur ayam di premis perniagaan sekitar negeri ini namun ia bersifat sementara.

“Berdasarkan kepada maklumat daripada pemborong, pengeluar dan peruncit, keberadaan bekalan telur ayam adalah sekitar 65 peratus.

“Kekurangan bekalan telur di pelbagai tempat cuma bersifat sementara sebagai contoh kalau bekalan sampai hari ini kemungkinan dari segi penjualan itu terlalu cepat dan pantas,” ujarnya.

Beliau turut meminta orang ramai untuk menghentikan sebarang hantaran di media sosial berhubung kekurangan bekalan makanan yang mampu menimbulkan kegusaran dikalangan masyarakat.

“Orang ramai juga diharap dapat elak menularkan isu berhubung ketiadaan bekalan dan membuat pembelian panik di pasaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI