ROMPIN – Bagi meringankan beban penduduk Pulau Tioman kerajaan negeri bersetuju mengurangkan kira-kira 60 peratus tambang feri kepada RM20 sehala berbanding kadar semasa sebanyak RM50.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pengurangan yang akan betkuatkuasa Januari tahun depan itu akan memanfaatkan kira-kira 3,600 penduduk di pulau peranginan tersebut.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas mendengar pelbagai rungutan daripada penduduk di Pulau Tioman termasuk harga tambang feri yang dikatakan membebankan.
“Berkenaan tambang feri, saya tanya mereka (penduduk Pulau Tioman), berapa sebenarnya mereka mampu, rata-rata menyatakan RM20.
“Saya pun sempat mengkaji seketika berbincang dengan pegawai kewangan negeri implikasi kewangan sekiranya saya mengumumkan harga dari RM50 ke RM20.
“Ia hanya melibatkan implikasi kewangan RM500,000, saya bersetuju dan terus mengumumkannya semalam,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Nelayan Kampung Jawa di sini hari ini.
Menurutnya kadar tambang baharu tersebut hanya membabitkan laluan antara Jeti Tanjung Gemuk di daerah ini untuk ke Pulau Tioman.
Harga tambang penumpang dewasa bukan penduduk Pulau Tioman dan pelancong kekal RM60 sehala.