DOHA – Selepas gagal menghasilkan sebarang jaringan sepanjang aksi peringkat kumpulan, kredibiliti kapten England, Harry Kane akan menjadi perhatian pada pusingan 16 menentang Senegal di Stadium Al Bayt, awal pagi esok.
Ekoran kegagalannya meledak gol, penyerang Tottenham itu menjadi pemain yang paling banyak menerima kecaman di laman sosial Twitter dan daripada kajian dilakukan, The Three Lions mendapat 1,546 kritikan.
Sebanyak 426 kecaman lebih terarah kepada Kane, namun secara dasarnya kritikan itu seakan menyerlahkan kerisauan peminat tentang kualiti yang ada pada anak buah Gareth Southgate kali ini.
Dari sudut positif, Kane harus menjadikan kecaman itu sebagai cabaran untuk menghadirkan gol pada pertemuan dengan Senegal memandangkan dirinya kini hanya dipisahkan dua gol berbanding penjaring terbanyak England, Wayne Rooney yang mengumpul 53 gol.
Walaupun dijangka akan mampu mengesahkan slot suku akhir, Southgate sedar Piala Dunia sentiasa hadir dengan kejutan dan lebih selesa untuk memberikan penghormatan kepada Senegal.
“Senegal adalah lawan yang sukar. Mereka bermain dengan cukup tersusun dan mereka juga memiliki pemain berkualiti yang beraksi di liga Eropah, jadi sudah pasti harapan terhadap Senegal akan meningkat,” katanya.
Ketika ini, penyerang Manchester United, Marcus Rashford sedang mendahului rakannya apabila sudah pun meledak tiga kali di Piala Dunia kali ini, diikuti Bukayo Saka dengan dua gol manakala Jack Grealish, Raheem Sterling, Jude Bellingham dan Phil Foden masing-masing menyumbangkan satu gol.
– AGENSI