BERLIN, Jerman – Seorang wanita berusia 72 tahun ditahan selepas dia didakwa mematikan mesin ventilator rakan sebilik hospitalnya sebanyak dua kali kerana marah dengan bunyi yang dikeluarkan oleh alat bantuan pernafasan tersebut, lapor portal berita MailOnline.
Menurut pihak berkuasa Jerman, warga emas itu berdepan hukuman penjara kerana disyaki melakukan cubaan membunuh. Insiden tersebut berlaku di sebuah hospital di Mannheim, barat daya Jerman, petang Selasa lalu.
Polis dan pendakwa raya berkata dalam satu kenyataan bahawa suspek mematikan alat pernafasan wanita berusia 79 tahun itu. Walaupun diberitahu oleh kakitangan hospital bahawa mesin ventilator itu penting untuk pesakit, dia mengulangi perbuatan tersebut pada sebelah petang.
Pesakit wanita berusia 79 tahun itu bergantung hidup kepada bekalan oksigen, kata polis dan pendakwa raya.
Suspek telah dibawa ke hadapan seorang hakim pada Rabu lalu dan kemudian dihantar ke penjara.
Mesin ventilator digunakan untuk mengepam oksigen ke dalam paru-paru pesakit bagi membolehkannya bernafas dan menjadi alat penting untuk menyelamatkan nyawa semasa pandemik Covid-19 yang mengakibatkan lebih enam juta orang terkorban.
Pihak penjagaan kesihatan antarabangsa melaporkan terdapat kira-kira 25,000 pesakit Jerman yang terpaksa menggunakan ventilator di seluruh negara itu. – Agensi