fbpx

Penjara berjaya insafkan penagih dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

Di saat individu-individu berkelana mencari identiti masing-masing sewaktu usia muda, Ali (nama samaran) terjerat dengan najis dadah.

Menurut Ali, dia mula terjebak dalam kancah dadah kerana pengaruh yang kuat daripada rakan-rakannya.

“Ketika itu, saya berumur 23 tahun dan ketika melihat rakan lain mengambil ‘benda’ itu, saya mulai rasa teringin kerana mahu tampak ‘hebat’.

“Saya mengambil dadah jenis heroin dan dimasukkan ke dalam tubuh melalui jarum suntikan,” kongsi Ali yang kini berumur 40-an kepada Panorama.

Pada tahun pertama penagihannya, dia cuma mengambil satu suntikan setiap hari dan baginya, selagi tidak menggunakan kuantiti yang banyak, dia masih merasakan perkara itu ‘normal’.

“Setiap hari, saya membeli satu tiub yang berharga RM10 dan satu tiub heroin itu boleh digunakan sekali sahaja,” ujarnya

Terang Ali, heroin yang dijual secara meluas telah menyebabkan dirinya mudah untuk mendapatkan bekalan tersebut.

Walaupun dia sedar seluruh ahli keluarganya mengetahui dirinya mengambil dadah, namun dia langsung tidak peduli.

“Ibu dan abang saya banyak kali menasihati saya, namun saya tidak pernah dengar nasihat mereka,” katanya.

Dia yang ketika itu bekerja sebagai pemandu traktor di ladang getah telah dibuang kerja kerana prestasinya yang semakin merosot. Terpana dengan situasi itu, dia cuba mengurangkan pengambilan dadah.

“Pada umur 25 tahun, saya mula berubah sedikit demi sedikit dan abang saya mengajak saya bekerja di kilang sawit.

“Namun, dua tahun kemudian, keadaan saya bertambah teruk kerana kembali ketagih dan mulai menggunakan heroin dalam kuantiti yang lebih banyak.

“Ketika ketagih, perkara yang saya boleh gambarkan cuma nikmat, namun perlahan demi perlahan, ‘benda’ tersebut mula memakan diri,” katanya.

Ali sanggup berhabis wang ringgit sehingga RM50 hingga RM100 sehari untuk membeli bekalan heroin.

“Kalau tidak dapat, saya asyik rasa nak marah. Saya tidak kenal siapa diri saya, apa kerja saya. Apa yang saya tahu, saya perlukan ‘benda’ tersebut,” katanya.

Semasa menagih dadah, Ali tergamak menjual banyak barang dalam rumah keluarga, malah termasuk acuan baulu tembaga antik. –GAMBAR HIASAN

Lebih teruk lagi, dia sanggup menipu orang terdekatnya iaitu keluarga semata-mata hendak dapatkan duit untuk membeli bekalan heroin.

Tidak cukup dengan menipu, dia turut menjual barang-barang dalam rumah keluarga seperti televisyen, peti sejuk, perabot, malah barangan antik seperti acuan baulu tembaga juga dijual dengan harga yang sangat rendah.

Di saat ibunya meninggal dunia pada 2014, penyesalan mula menggigit tangkai hatinya, namun dia masih tidak mampu berhenti mengambil dadah.

“Sekali kita terlibat dengan dadah, untuk kembali pulih sangat susah. Kalau berhenti dengan tiba-tiba, saya rasa saya seperti gila atau mungkin meninggal dunia,” selorohnya.

Dia bagaimanapun akhirnya tertangkap dan dipenjarakan selama tujuh bulan di atas dakwaan mengambil heroin dan menurutnya, pemenjaraan itu merupakan rahmat yang paling besar terhadap dirinya.

“Banyak perubahan yang berlaku kepada saya di penjara di mana saya mula sembahyang dan berkawan dengan orang yang baik-baik. Paling penting, saya jauh dengan barang durjana itu.

“Saya jadi malu terhadap diri sendiri dan saya beriltizam untuk berubah kerana berasa tidak mempunyai harga diri kalau keluar masuk penjara,” katanya.

Tambah Ali, dia insaf sejak keluar dari penjara dan tidak mahu lagi terjebak dalam kancah dadah agar tidak menjadi bahan kejian dan cemuhan masyarakat setempat.

Katanya lagi, terjerumus dengan dadah telah menyebabkan hubungan dia dan adik- beradiknya semakin renggang dan dia tekad untuk memperbaik hubungan tersebut.

“Sukar untuk orang lain percaya kepada bekas penagih, namun saya cuba ikhlaskan diri saya kerana mereka berhak berasa begitu.

“Untuk menebus kesalahan pernah dilakukan, saya cuba membeli semula barang rumah yang pernah dijual oleh saya seperti peti sejuk, televisyen, malah saya kini mampu membeli sebuah motosikal,” terangnya yang kini bekerja sebagai pemandu lori.

Ujar Ali, dia sangat bangga akan dirinya yang sudah berubah dan mampu menggalas tanggung jawab, namun sedikit terkilan kerana ibunya sudah tiada di sisi saat dia sudah insaf.

“Saya harap tiada remaja yang buat kesilapan seperti saya kerana penyesalan di kemudian hari tidak tertanggung rasanya,” ucap Ali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI