MOSCOW – Seorang wanita muda, Maria Molonova sanggup menyewa satu siri papan iklan gergasi di bandar Ulan-Ude, timur Siberia bagi mempromosikan dirinya yang sedang mencari calon suami, lapor akhbar Daily Star semalam.
Wanita berusia 26 tahun itu berbuat demikian kerana aplikasi mencari jodoh, Tinder bertindak meninggalkan pasaran Russia selepas Presidennya, Vladimir Putin mengarahkan tenteranya menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu.
Ahli perniagaan itu kemudian mendapat idea bagi mengiklankan diri untuk mencari calon suami dengan menggunakan papan iklan gergasi yang turut memaparkan gambar wajahnya sedang memakai cermin mata gelap.
Molonova turut memasukkan kod respon pantas (QR) yang membawa pengguna ke maklumat soal selidik untuk diisi supaya dia boleh mencari lelaki dan terdapat ayat ‘Mencari Suami’ dalam bahasa Russia pada papan iklan tersebut.
Menurut Daily Star, antara maklumat yang perlu diisi ialah nama, umur, status keluarga dan sama ada pemohon masih bujang atau sudah berkahwin manakala sesiapa yang sudah mengisinya (maklumat), wang sebanyak 1,000 ruble (RM16) perlu dibayar.
Molonova juga memaut ke halaman Instagramnya yang mempunyai lebih daripada 21,000 pengikut.
Bercakap kepada portal berita Moskovsky Komsomolets, Molonova berkata, dia akan memilih calon suaminya mengikut perasaan dalaman hati dan berdasarkan soalan soal selidik yang perlu diisi oleh pemohon sebelum keluar janji temu dengan bakal teman hidupnya.
Wanita itu akan membuat pilihan yang teliti kerana dia sudah mempunyai dua orang anak tetapi memiliki penasihat kewangan, kereta, apartmen dan terlibat dengan pelaburan lain. – Agensi